Lebih 150 peserta sertai Khatan Perdana 2024

Kota Kinabalu : Seramai lebih 150 orang peserta terdiri dari golongan mualaf, asnaf dan anak- anak kakitangan agensi terlibat menyertai Program Khatan Perdana bagi tahun 2024 di Masjid Negeri Sabah.

Program anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS); Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) itu telah dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan berkata, program yang dilaksanakan sempena cuti sekolah itu adalah melibatkan peserta berusia antara enam hingga 21 tahun.

Selain menjadi pengisian pada cuti sekolah katanya, program itu juga merupakan salah satu sunat Rasullah S.A.W.

“Ini merupakan satu kewajipan untuk kita sebagai orang Islam untuk membersihkan fizikal dan rohani dan sudah tentu kita sebagai umat Islam mementingkan kebersihan.

“Sebagai ibu bapa kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk mengenal pasti anak-anak yang berusia enam tahun lagi sudah dikhatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Khatan Perdana 2024 di Masjid Negeri di sini hari ini.

Ruslan berkata, program itu juga adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk turut serta dalam program seumpama ini.

“Melalui program ini, kita sedikit sebanyak telah memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan yang tidak kurang RM150 seorang.

“Jadi maknanya melalui program seumpama ini mereka mempunyai peluang dan pihak kita telah menyediakan perkhidmatan seramai sembilan orang doktor yang kita biaya menerusi PBNS, JHEAINS dan MUIS,” katanya.