Langkah mitigasi banjir di Lumadan sedang diperincikan – Ruslan 

Beaufort : Beberapa langkah mitigasi banjir terutama di kawasan berisiko tinggi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan sedang diperincikan melalui tinjauan di beberapa kawasan terlibat.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, ia dilaksanakan menerusi kerjasama strategik pelbagai agensi Kerajaan.

Katanya, tinjauan di sepanjang Jalan Gadong–Bintuka hari ini bertujuan menilai secara langsung keadaan lokasi yang sering dinaiki air dan menjejaskan pergerakan penduduk.

Menurutnya, laluan itu merupakan antara nadi penghubung penting bagi komuniti setempat.

“Antara langkah mitigasi yang dicadangkan menerusi hasil tinjauan bersama agensi seperti JKR, JPS, PDRM dan APM termasuklah menaik taraf jalan rendah yang sering tenggelam ketika banjir bagi memastikan hubungan antara kampung dan pekan utama tidak terputus.

“Selain itu, langkah lain termasuklah pembinaan saliran baharu bagi mengalirkan air terus ke Sungai Garama dan seterusnya ke Sungai Kota Klias yang terus bermuara ke laut, sekali gus mengurangkan risiko limpahan ke kawasan penempatan.

“Kita turut mencadangkan agar jajaran sungai alternatif yang lebih efisien juga dipertimbangkan dengan mengambil kira aspek teknikal dan impak jangka panjang terhadap sistem saliran sedia ada,” katanya.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata bahawa lebih 80 peratus kawasan tersebut berada dalam zon berisiko tinggi kerana lokasinya yang terletak dalam jajaran Sungai Padas.

“Dengan berlakunya banjir berulang, kerosakan jalan, saliran dan tebing sungai semakin mendesak. Kami berharap kerajaan pusat dan negeri memberi keutamaan peruntukan kepada daerah Beaufort, khususnya di kawasan Lumadan yang paling terkesan,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan keadaan cuaca yang bertambah baik, diharap langkah-langkah susulan dapat segera dilaksanakan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta mengurangkan impak bencana alam pada masa hadapan.