
Langgar kanak-kanak, cedera mata dan patah hidung selepas dibelasah

editor@bayunews.net
KUALA LUMPUR (18 OKT): Seorang lelaki berusia 23 tahun yang melanggar seorang kanak-kanak berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur cedera di bahagian mata dan patah hidung selepas dibelasah dua individu dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kira-kira jam 7 malam itu, mangsa memandu kereta dan tidak sengaja melanggar seorang kanak-kanak yang ketika itu berjalan dengan ibunya.
“Kanak-kanak itu dipercayai hanya terkena pada bahagian cermin sisi sebelah kanan kereta mangsa.
“Selepas menyedari perkara itu, mangsa dikatakan terus memberhentikan kenderaannya untuk membantu kanak-kanak terbabit. Bagaimanapun, tiba-tiba datang dua lelaki tidak dikenali didakwa menumbuk dan menendang mangsa bertubi-tubi serta merampas kunci keretanya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laporan Berita Harian.
Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang dan telah membuat laporan polis pada jam 11 pagi. Usaha mengesan dua lelaki sedang dijalankan.
Tambahnya, identiti dan jantina kanak-kanak terbabit tidak dapat dikenal pasti kerana sejurus kejadian ibu dan anaknya terus menghilang.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan cedera parah.