
Lagi kemalangan maut insiden kereta bertembung di Kudat

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KUDAT (20 DIS): Seorang penumpang wanita berusia 50 tahun maut dalam kemalangan kereta bertembung melibatkan kereta Perodua Myvi dan Toyota Land Cruiser di Jalan Simpang Kampung Tungkang, dekat sini kelmarin.
Elena Kolonjan, penumpang hadapan dalam kereta Perodua Myvi maut di tempat kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 11.20 pagi itu turut mengakibatkan pemandu iaitu suami mangsa berumur 59 tahun serta dua anaknya lelaki dan perempuan masing-masing berusia sembilan dan tujuh tahun mengalami kecederaan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.27 pagi berhubung kejadian itu.
“Kemalangan kenderaan bertembung membabitkan kereta Perodua Myvi dan jenis Toyota Land Cruiser.
“Seramai tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, lima lagi mangsa berada dalam Toyota Land Cruiser berusia antara tujuh hingga 42 tahun dilaporan selamat.
Kesemua mangsa cedera dikejarkan ke hospital bagi rawatan susulan.