Labuan berpotensi jadi destinasi Bird Tourism
editor@bayunews.net
LABUAN (19 JAN): Program “Asian Waterbird Census 2023” (AWC) berjaya merekod lebih 20 spesies burung air yang unik dengan habitat menarik mampu menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai salah satu destinasi Bird Tourism.
Program yang diselaraskan oleh Labuan Avian Group bersama Malaysian Nature Society (Cawangan Sabah) itu merupakan aktiviti tahunan sukarela yang diadakan pada minggu kedua dan ketiga dalam bulan Januari setiap tahun.
Menurut pengasasnya Noralip Hassanuddin berkata, pemantaun di pantai Kampung Nagalang dan pantai Kampung Sungai Labu melibatkan seramai tujuh orang sukarelawan daripada “Bird Watching”.
“Disamping memantau dan mengumpul data burung air di seluruh negara Asian, kegiatan ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat setempat mengetahui tentang habitat burung air yang agak unik dan menarik.
“Kali terakhir Labuan Avian Group menyertai AWC adalah pada tahun 2018, namun terhenti akibat pandemik COVID-19.
“Pada pertengahan tahun 2021, Labuan Avian Group kembali aktif dalam merekod dan merakam gambar spesies burung di sekitar Pulau Labuan,” kata beliau ketika ditemui di pantai Kampung Sungai Labu, baru-baru ini.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang menyertai program AWC 2023, Erwin Usdek berasa teruja apabila beliau berjaya merekod kehadiran spesies Comman Tren buat pertama kali di Pulau Labuan.
“Antara spesies burung air yang direkodkan adalah Comman Tren, Comman Sandpiper, Malaysia Plover, Kentish Plover, Greater Sand Plover, Ruddy Turnstone, Sanderling dan beberapa spesies lain,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan yang ditemui, Damaisara Pimpilemba berkata, kehadiran burung hijrah dari negara-negara Asian ke Pulau Labuan pada bulan September hingga April setiap tahun membolehkan Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi untuk menjadi salah satu destinasi Bird Tourism di samping Sabah, Sarawak dan Negara Brunei Darussalam.
Sukarelawan lain yang terlibat pada program itu adalah Ruslan Alias, Ramlen Salleh, Asraf Sarmi dan Matthew Albanus.