KUUB 2025 Platform Strategik Perkasa Kepimpinan Belia Sabah

Kota Kinabalu : Penganjuran Konvensyen Antarabangsa Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) 2025 berupaya menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan belia, jaringan akademik dan kerjasama industri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ruslan Muharam berkata, himpunan itu turut membuka ruang kolaborasi rentas sektor dan sempadan yang secara tidak langsung memperluas pendedahan generasi muda kepada wacana serantau dan antarabangsa.

Selain itu katanya, himpunan itu turut meningkatkan literasi kepimpinan, diplomasi dan advokasi dalam kalangan mahasiswa dan belia

“Himpunan ini turut memberi peluang jaringan strategik dengan pemimpin muda Borneo dan tokoh akademik yang berpengaruh.

“Ia juga dapat menyuntik semangat kepimpinan berteraskan nilai, berwawasan global namun berpijak di bumi Sabah dan mengukuhkan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui penglibatan belia dan mahasiswa dalam ekosistem pembangunan mampan dan kepimpinan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Alu-Aluan Dan Perasmian Konvensyen Antarabangsa KUUB 2025 di sini pada Isnin.

Ruslan berkata, konvensyen itu juga adalah sebagai manifestasi sebenar komitmen terhadap pembangunan modal insan yang berkualiti, kelestarian alam sekitar, dan penguasaan sains, teknologi serta inovasi.

Katanya, selain itu, penganjuran program itu juga menjadi platform strategik yang membuka ruang kepada golongan muda untuk meluahkan pandangan terhadap isu-isu semasa, berkongsi solusi, serta membina jaringan serantau yang kukuh.

“Saya amat tertarik dengan agenda Borneo Youth Leaders Summit (BYLS) yang mengangkat suara belia rantau ini.

“Golongan belia bukan hanya pemimpin masa depan, tetapi juga agen perubahan masa kini yang memikul harapan untuk membentuk Borneo sebagai wilayah yang progresif, inklusif dan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata, Majlis Belia Sabah (MBS) turut memainkan peranan penting dalam memupuk bakat kepimpinan Perintis Muda yang mampu menjawab cabaran semasa.

Katanya, ia termasuklah isu perubahan iklim kepada keselamatan makanan, daripada keterangkuman sosial hinggalah kepada ekonomi digital.

“Melalui penglibatan aktif dalam BYLS bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, MBS memastikan suara anak muda Sabah terus bergema dalam wacana serantau dan tidak dipinggirkan daripada agenda pembangunan.

“Usaha berterusan MBS dalam memperkasa kapasiti, memberi ruang suara, dan mencipta peluang pembangunan menjadikan BYLS medan terbaik melahirkan pemimpin masa kini bukan sekadar menunggu masa depan tiba.

“Inilah bukti bahawa kepimpinan belia Sabah sentiasa segar, berakar di bumi sendiri, namun berwawasan global,” katanya. –