KUSKOP belum berhasrat lebarkan UKKM ke Sabah

Penampang : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) belum mempunyai seberang rancangan untuk membuka cawangan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) di Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pada masa ini, UKKM yang telah beroperasi di kampus sementara dengan sekitar 100 pelajar di Kuala Lumpur menawarkan pengajian di peringkat Diploma ke peringkat PhD.

“Pada ketika ini kita belum ada perancangan untuk melebarkan pembukaan UKKM ini, atau kmpus ni ke Sabah atau negeri-negeri lain kerana kita baru satu tahun lebih beroperasi dan jumlah pelajar yang sedang melanjutkan itu sekitar 100 orang pada masa ini.

“Apa yang saya hasratkan atau apa yang saya minta iaitu satu pengambilan khas kepada pelajar-pelajar daripada Sabah dan Sarawak yang tidak sempat melanjutkan pengajian melalui proses UPU.

“Jadi kalau ada pelajar-pelajar ini boleh memohon untuk melanjutkan pengajian sama ada diploma atau pun sarjana muda ke UKKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, individu yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Master atau PhD, UKKM turut mempunyai kursus sedemikian termasuklah kursus eksekutif bagi individu yang bekerja tetapi ingin mengambil kursus eksekutif Master UKKM.

“Seperti yang saya nyatakan tadi yang terdiri daripada anak-anak ahli koperasi itu boleh memohon pembiayaan yang kita sediakan termasuklah melalui angkasa.

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga menyediakan pembiayaan kepada anak-anak ahli koperasi apabila mereka melanjutkan pengajian di UKKM ini dan permohonan kemasukan juga boleh dibuat secara online atau terus kepada UKKM,” katanya.

Ewon berkata, permohonan juga boleh dibuat terus kepada beliau dan akan dipanjangkan kepada UKKM untuk diteliti.

“Tetapi saya berhasrat terutama pelajar-pelajar dalam kalangan B40 ataupun kepada semua anak muda di seluruh Malaysia. Sekiranya ada permintaan besar di Sabah, Sarawak, luar bandar Semenanjung ini yang kita ingin lihat supaya mereka bukan hanya dapat melanjutkan pengajian tetapi mampu membantu negara membangunkan sektor koperasi kita,” katanya.