
KUNJUNGAN HORMAT DPPC PERKUKUH PEMBANGUNAN SUKAN PICKLEBALL DI SABAH
Kota Kinabalu — Usaha memartabatkan sukan pickleball di Sabah terus diperkasakan apabila Dinkers Point Pickleball Club (DPPC) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam baru-baru ini.
Rombongan kunjungan hormat tersebut diketuai Presiden DPPC, Mohd Noh Adzlie, sebagai sebahagian usaha memperkenalkan kelab berkenaan secara rasmi, selain berkongsi visi dan komitmen DPPC dalam pembangunan sukan pickleball, khususnya dalam kalangan belia di Sabah.
Dalam pertemuan itu, Joachim merakamkan penghargaan terhadap usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh DPPC, khususnya dalam pembangunan bakat belia melalui sukan pickleball yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penyertaan DPPC dalam kejohanan APP Next Kuala Lumpur, yang disifatkan sebagai satu platform penting untuk memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada para pemain di peringkat kebangsaan, sekali gus membuka peluang lebih luas pada masa hadapan.
Selain itu, Joachim turut menasihatkan para pemain agar menikmati sepenuhnya peluang menyertai kejohanan bertaraf nasional tersebut, memandangkan peluang sebegini tidak datang dengan kerap dan amat bernilai dalam pembentukan jati diri atlet.
Sementara itu, Mohd Noh Adzlie, berkata, kunjungan hormat ini bukan sekadar sesi pengenalan rasmi DPPC, malah mencerminkan keyakinan terhadap peranan sukan sebagai medium pembangunan belia, pengukuhan komuniti serta pembudayaan gaya hidup sihat di Sabah.
“DPPC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan dan galakan yang diberikan, dan beriltizam untuk membawa nama Sabah dengan penuh kebanggaan di pentas kebangsaan melalui sukan pickleball,” katanya.





