Kumpulan Yayasan Sabah dan Universiti Teknologi Mara perkasa pembangunan penyelidikan

KOTA KINABALU (23 SEPT) : Kumpulan Yayasan Sabah telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Lanjutan) dengan Universiti Teknologi MARA dalam mempromosikan aktiviti penyelidikan, pembangunan, biodiversiti dan latihan di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah pada 21 September 2022 bertempat di Bilik Multivision, Menara Tun Mustapha.

Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah, Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar dan disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Encik Hanafiah Diman manakala UiTM diwakili oleh Rektor, Datuk Profesor Madya Dr Haji Abdul Kadir Haji Rosline dan disaksikan oleh Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Dr Sharifah Nurafizah Syed Annuar.

Sebelum ini, Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM telah bekerjasama menerusi MoU mempromosikan aktiviti penyelidikan, pembangunan, biodiversiti dan latihan yang ditandatangani pada 29 Januari 2011 bagi tempoh lima tahun, berakhir pada 2015.

Menurut Dato’ Sri Haji Gulamhaidar, MoU tambahan terbaharu antara Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM tertumpu kepada pengembangan bidang penyelidikan dan latihan dengan penambahbaikan program Pendidikan Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah.

“Oleh itu, Kumpulan Yayasan Sabah dan UiTM akan bekerjasama dalam membangun dan mengadakan program pembangunan demi meningkatkan kemahiran pembangunan staf Kumpulan Yayasan Sabah menerusi pengurusan pelawat dan hospitaliti serta penyediaan penempatan latihan industri untuk pelajar UiTM,” jelas beliau.

“Antara aktiviti yang dirancangkan di bawah kerjasama tersebut ekspedisi saintifik meliputi koridor pendidikan alam sekitar di Kawasan Konservasi Pantai Silam, Kawasan Konservasi Sungai Taliwas, Kawasan Konservasi Lembah Danum dan Projek Rehabilitasi Hutan Hujan Innoprise-FACE (INFAPRO). Aktiviti ini akan menyumbang kepada penawaran dan permintaan kajian pendidikan alam sekitar dan eko-pelancongan di kawasan konservasi seliaan Kumpulan Yayasan Sabah,” jelasnya lagi.

“Usaha itu telah pun dilaksanakan berikutan penyertaan UiTM dalam Eksplorasi Saintifik Kawasan Konservasi Sungai Taliwas, yang diadakan pada 7 hingga 17 Jun 2022, di mana UiTM telah menjalankan kajian pendidikan alam sekitar dan potensi eko-pelancongan di Kawasan Konservasi Sungai Taliwas,” tambahnya.

Inisiatif tersebut akan menyediakan peluang pembelajaran yang baik kepada para pelajar dan fakulti UiTM bagi meningkatkan pengalaman pembelajaran, pembangunan profesional dan pembangunan kurikulum mereka.

Pada majlis yang sama, upacara simbolik pelepasan Ekspedisi Saintifik UiTM Kanyon Imbak turut diadakan. Ekspedisi saintifik sebenar yang berkhususkan sains alam sekitar dan ekologi, pendidikan dan komuniti, serta flora dan fauna Kawasan Konservasi Kanyon Imbak akan berlangsung pada 2 hingga 8 Oktober 2022.

Ekspedisi tersebut tertumpu kepada pengumpulan data, dokumentasi dan menjalankan kajian saintifik mengenai kepelbagaian flora, fauna dan ekosistem Kawasan Konservasi Imbak Kanyon.

Selain itu, pelaksanaan aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan turut menyokong usaha meningkatkan kesedaran orang ramai melalui pendidikan dan latihan, termasuk kempen menyokong perlindungan dan pemuliharaan selaras dengan visi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan untuk memupuk ekonomi yang mampan.

Penemuan dari ekspedisi tersebut akan menyumbang ke arah pembangunan pelan lestari bagi pengurusan hutan dalam mengatasi cabaran berkaitan, khususnya dalam memelihara, memulihara dan mengurus flora dan fauna Sabah.