Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Sabah meningkat RM3.431 bilion
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (29 NOVEMBER): Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak RM484.8 juta atau 16.5 peratus kepada RM3.431 bilion pada 2021 berbanding RM2.947 bilion pada 2020.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Sabah 2021 yang dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam, Akaun Hasil Disatukan mencatatkan lebihan RM931.57 juta iaitu meningkat RM1.866 bilion atau 199.7 peratus berbanding defisit pada 2020 berjumlah RM934.63 juta.
Kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah bagi tahun berakhir 31 Disember 2021 secara keseluruhannya adalah stabil, menurut laporan tersebut.
LKAN memberitahu pada 2021, hasil yang dikutip kerajaan negeri berjumlah RM5.45 bilion iaitu meningkat sebanyak RM1.859 bilion atau 51.8 peratus berbanding kutipan hasil pada 2020 yang berjumlah RM3.591 bilion.
Laporan itu turut memaklumkan perbelanjaan mengurus mencatatkan peningkatan sebanyak RM57.44 juta atau 1.6 peratus kepada RM3.718 bilion pada 2021 berbanding RM3.661 bilion pada 2020.
Pada 2021 sejumlah RM1.119 bilion perbelanjaan pembangunan diluluskan dan sejumlah RM879.92 juta telah dibelanjakan.
Sebanyak 812 jumlah projek telah dirancang tahun lepas dan 47 daripadanya siap dilaksanakan, 367 projek sedang dilaksanakan dan 398 projek belum dilaksanakan, menurut laporan itu.
Sementara itu, LKAN 2021 Siri 1 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Sabah memberitahu, kerajaan Sabah telah mengagihkan bantuan sebanyak RM179.07 juta melalui program Sabah We Care Bantuan COVID-19 yang memanfaatkan 392,819 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 10 jabatan.
Sejumlah RM159.12 juta untuk manfaat 372,813 KIR dan jabatan telah diagihkan sepanjang tempoh kritikal iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menurut laporan itu.
Sementara itu, LKAN 2020 Siri 1 Mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Sabah memaklumkan pengurusan pembaikan cerun jalan negeri dan Persekutuan di Sabah tidak diurus dengan cekap dan berkesan bagi mencapai objektif pengurusan cerun.
Pada 2018 hingga 2020 sebanyak 65 peratus hingga 85.3 peratus daripada cerun yang disasarkan masih belum dibaiki antaranya disebabkan peruntukan yang diluluskan tidak mencukupi bagi membiayai keperluan sebenar membaiki kerosakan cerun jalan.
Pemeriksaan fizikal dijalankan di tapak projek mendapati kerosakan fizikal disebabkan tidak ada penyenggaraan rutin selepas projek siap. Ini memberi kesan kepada kestabilan dan kekuatan cerun jalan, Sistem Amaran Awal (SAA) yang dipasang di lokasi cerun juga perlu dimanfaatkan, menurut laporan itu.-Bernama