KPB, kenderaan PPB manfaat penduduk kawasan pedalaman

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (12 DIS):  Klinik Pergigian Bergerak (KPB) dan Kenderaan Pasukan Pergigian Bergerak (PPB) memberi manfaat kepada penduduk kawasan pedalaman Sabah.

Rose Nani (tengah) menandatangani plak perasmian Klinik Pergigian Bergerak dan Kenderaan Pasukan Pergigian Bergerak Negeri Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kedua-dua kemudahan berkenaan adalah bertujuan untuk memberikan kemudahan kesihatan yang terbaik kepada penduduk di Sabah terutama di kawasan pedalaman.

Rose Nani (tengah) menyempurnakan gimik perasmian memotong reben disaksikan Zaiton (kiri) dan Asmahani (kanan). 

“KPB merupakan kenderaan yang diubahsuai menjadi klinik pergigian dan dilengkapi dengan peralatan pergigian statik untuk memberikan perkhidmatan pergigian secara outreach.

Khaw (dua dari kiri) menyerahkan kunci kereta 4WD kepada Rose Nani (dua dari kanan). 

“Manakala, PPB dengan kenderaan transmisi pacuan empat-roda (4WD) bermanfaat kepada lebih ramai penduduk yang tinggal jauh dari fasiliti klinik pergigian. 

“Kedua-dua fasiliti ini akan bergerak keluar ke kawasan pedalaman untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian termasuk di sekolah-sekolah, Taska dan Tadika, Klinik Desa, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Pusat Jagaan Warga Emas selain bekerjasama dalam pelbagai program yang dianjurkan agensi kerajaan dan agensi luar,” ujar Rose Nani kepada media selepas merasmikan KPB dan Kenderaan PPB Negeri Sabah di sini, baru-baru ini.

Salah seorang kakitangan (dua dari kanan) menerangkan ciri-ciri khas peralatan pergigian mudah alih kepada Rose Nani (kanan). 

Beliau turut memaklumkan setakat ini, KPB akan ditempatkan di Sandakan manakala kenderaan PPB di Sandakan, Tongod dan Semporna. 

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) Sabah, Dr Zaiton H. Tahir, Pegawai Pergigian Kawasan Sandakan, Dr Asmahani Aziz dan Pengurus Besar Syarikat Pioneer Coachbuilders Sdn Bhd, Khaw Soy Ou.-Penerangan