
Kota Marudu: Lelaki dihanyut banjir, tiga hari terperangkap di Pulau Batu Laya-Laya

Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA MARUDU (28 JAN): Seorang lelaki berusia 52 tahun diselamatkan selepas terperangkap selama tiga hari di sebuah Pulau Batu Laya-Laya di kawasan perairan Kampung Teringai Laut dekat sini.
Difahamkan, mangsa dikenali Jaikon Majumban berasal dari Kampung Jambutan Laya-Laya sedang membersihkan perahu yang ditambat di tepi sungai kampungnya pada 25 Januari lalu sekitar jam 6.45 pagi.
Ketika kejadian, air pasang yang membawa arus kuat telah menghanyutkan mangsa bersama perahunya lebih kurang dua kilometer sehingga ke perairan laut di Kampung Teringai Laut.
Sejurus itu dia bertindak terjun ke laut dan berenang ke Pulau Batu Laya-Laya untuk berlindung.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak mengesahkan perkara itu.
Operasi menyelamat dilakukan menggunakan bot penduduk kampung apabila bot penyelamat tidak dapat memasuki kawasan pulau berkenaan.
Mangsa turut diberikan makanan dan minuman sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu untuk menerima rawatan susulan.
Untuk rekod, jarak Pulau Batu Laya-Laya dengan daratan Kampung Teringai Laut adalah kira-kira 700 meter.