Kontraktor LPB Gagal Siapkan Projek Akan Dinilai Semula – Ruslan

BEAUFORT : Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 2 yang gagal menyiapkan kerja-kerja pembinaan LPB akan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dinilai semula termasuk tindakan selanjutnya mengikut perjanjian kontrak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, ini termasuklah laluan Batu 5 hingga Batu 7 melibatkan laluan Kampung Malalia ke Beaufort yang merupakan laluan kritikal dan sering mengalami kerosakan jalan selain menerima banyak aduan daripada rakyat.

“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan dan melantik kontraktor. Sekarang adalah giliran kontraktor untuk bertanggungjawab.

“Jika mereka gagal, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya melalui JKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan tapak projek bersama JKR, perunding dan kontraktor di laluan berkenaan di sini pada Selasa.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, kontraktor terlibat perlu melaksanakan pembaikan sementara di laluan kritikal bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya sementara menunggu penurapan penuh.

Katanya, projek Pakej 2 sepanjang 34.7 kilometer setakat ini telah mencapai kemajuan 62.5 peratus, namun masih berdepan kelewatan akibat faktor cuaca, pengambilan tanah dan isu teknikal.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan kritikal tersebut, khususnya pada musim hujan kerana kawasan berkenaan sering dilanda banjir serta mengalami kerosakan jalan yang serius.

“Saya akan terus memantau projek ini secara langsung sehingga jalan ini benar-benar selamat digunakan,” tambahnya.