Kontraktor bina Lebuhraya Pan Borneo laluan Sipitang-Lumadan diminta utamakan keselamatan pengguna ketika fasa pembinaan
SIPITANG : Kontraktor pembinan Lebuhraya Pan Borneo antara Sipitang – Lumadan perlu bersikap profesional melaksanakan kerja dan diperkemaskan dengan mengutamakan keselamatan pengguna.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat dan pengguna mengenai masalah dihadapi ketika melalui fasa pembinaan lebuhraya ini.
“Saya lihat progres kontraktor dilantik begitu lambat dan kalau dilihat tarikh siap awal dari 2019 hingga sekarang sudah lambat,” katanya ketika ditemui media selepas Porgram Iftar di Surau Kampung Lumut dekat sini, semalam.
Justeru itu, beliau meminta Kerajaan terutama Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya mengambil inisiatif untuk mempercepatkan proses pembinaan lebuhraya ini.
“Harapan kami di Sipitang, pembinaan Pan Borneo di laluan ini siap mengikut jadual dan pada masa sama ciri-ciri keselamatan ketika fasa pembinaan itu dipertingkatkan misalnya simpang, tanda arah dan apa-apa juga yang menyukarkan rakyat seperti kerosakan jalan raya cepat diperbaiki,” katanya.
Yusof berkata, pembinaan lebuhraya Panborneo ini perlu disiapkan mengikut jadual disebabkan ia menjadi laluan utama warga negara Brunei, Indonesia dan penduduk negeri jiran Sarawak jika ke Kota Kinabalu.
Sementara itu, Yusof turut bersama penduduk Kampung Tanjung Pagar menunaikan Solat Isyak dan Tarawih di Surau An Nur.