Konsert di Kota Kinabalu bersama artis legend palsu
editor@bayunews.com
AMPANG: Baru-baru ini tular lagi kes penipuan berkenaan satu anjuran konsert ‘Unplugged Living Legend ’melibatkan artis terkemuka tanah air yang kononnya berlangsung pada 4 Febuari 2023 di sebuah hotel di Kota Kinabalu.
Menerusi kandungan poster berkenaan menampilkan beberapa artis termasuklah Datuk Awie, Ahmad Dhani, Ziana Zain, Ella dan Erra Fazira.
Suspek seorang wanita tempatan berusia 48 tahun ditahan polis pada 10.40 malam kelmarin di kawasan Klang.
Suspek dikatakan melakukan penjualan tiket konsert berharga antara RM199 sehingga RM649.
Penipuan itu terbongkar selepas salah seorang artis membuat laporan di Balai Polis Daerah Ampang Jaya, memetik satu laporan Harian Metro semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada Datuk Awie, 53, pada Selasa lalu.
Katanya, Awie sebelum itu dimaklumkan perkara itu oleh rakan artis ketika berada di rumahnya di Bukit Antarabangsa, di sini, mengenai hantaran di Facebook mempromosikan konsert yang dijangka berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Februari 2023.
Awie dalam hantaran Instagramnya berkata tindakan wanita terbabit merupakan percubaan untuk menipu bagi mendapatkan keuntungan mudah.
“Tak tahulah sudah berapa ramai orang yang kena tipu bagi dia duit beli tiket,” kata Awie.
Suspek kini direman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.
Polis meminta orang ramai yang telah membeli tiket konsert agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.-HM