Beaufort : Kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang ditawan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 lalu kekal ditandingi parti itu pada PRN akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam berkata, perkara itu adalah berdasarkan ketetapan bahawa semua kerusi yang disandang PBS ketika ini akan dikekalkan untuk ditandingi parti itu pada PRN ke-17.
“Sebagaimana yang dijelaskan oleh pemangku presiden bahawa perbincangan di antara pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan parti-parti komponen dalam GRS menyatakan bahawa Ketua Menteri mahu kerusi yang disandang parti komponen GRS dikekalkan.
“Ini kerana sekiranya ia tidak dikekalkan, ia akan jadi punca kepada perbalahan. Disitu Ketua Menteri telah melihat dan meneliti asas yang boleh kita fikirkan bersama dan ia adalah satu keputusan bijak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PBS Lima Bahagian Zon Pedalaman Bawah kali ke-39 di Dewan Pa Musa di sini semalam.
Majlis disempurnakan Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, selain perbalahan, akan timbuk juga perpecahan dalam kalangan ahli komponen GRS sekiranya ada perubahan kerusi.
“Dengan adanya ADUN-ADUN dalam GRS yang ada sekarang sudah cukup bekerja, bekerja pertama sekali menyelesaikan isu rakyat kedua adalah merangka pembangunan dalam segi pendidikan, ekonomi dan sebagainya.
“Jadi maknanya kalau ada perubahan-perubahan itu dengan sendirinya dia akan terbantut hala tuju wakil-wakil rakyat dalam GRS itu yang sedia ada akan terbantut dan tentu-tentu dengan adanya cedangan-cedangan calon yang di luar daripada GRS itu sendiri akan nampak jelas akan menjadi satu bibit- bibit perpecahaan.
“Dalam perbincangan muktamad, tapi calon terserah kepada pucuk pimpinan, yang penting di Lumadan adalah untuk PBS,” katanya.