Kerjasama KTYS, Yayasan Ikhlas galak aktiviti kemasyarakatan

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU(13 DIS) : Jalinan kerjasama antara Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Yayasan Ikhlas menggalakkan aktiviti kemasyarakatan dalam kalangan pelajarnya.

Samin (dua dari kanan) menerima cek cura sumbangan Yayasan Ikhlas daripada Zainur (dua dari kiri).

Ketua Eksekutif KTYS, Samin Ongki berkata, jalinan kerjasama itu memastikan para kakitangan dan pelajar KTYS terlibat dengan aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan secara aktif.

“Pada hari ini, KTYS secara rasminya akan mewujudkan jaringan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan program-program yang menyokong kepada modal insan dan sekaligus meningkatkan kesejahteraan komuniti sejagat bersama Yayasan Ikhlas.

“Kerjasama ini menumpukan kepada program dan aspek terfokus antaranya dalam pembangunan infrastruktur asas pendidikan kepada pelajar KTYS selain dari segi keterlibatan warga dan pelajar kolej dalam program khidmat komuniti dan kemasyarakatan,” ujar beliau ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara KTYS dan Yayasan Ikhlas di sini.

KTYS diwakili Samin bersama Pendaftar KTYS, Noor Arfiah Ampong menandatangani memorandum persefahaman manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin dan Pengarah Korporat, Ir Kamaruddin Kassim mewakili Yayasan Ikhlas disaksikan Ahli Lembaga Pengarah KKYS Sdn. Bhd., Kassim Buntak dan Salleh Eddris.

Dalam majlis yang sama, Yayasan Ikhlas turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10 ribu kepada KTYS bertujuan untuk membantu aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang bakal dilaksanakan.-Penerangan