Kereta bertembung ragut nyawa seorang wanita di Jalan Ranau Lama

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

TUARAN (14 NOVEMBER): Seorang wanita berumur 28 tahun maut dalam insiden dua buah kenderaan bertembung jenis Toyota Hilux Vigo dan Perodua Viva di Jalan Ranau Lama, Tamparuli petang kelmarin.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sejurus tugas mengeluarkan tubuhnya yang tersepit dari perut Perodua Viva selesai.

Sepasukan anggota bersama jentera diketuai Komander Operasi, PBK II Mahmud Jumah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi dengan jarak 25 kilometer dari BBP selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.08 petang menerusi talian MERS 999.

Sementara, mereka yang cedera membabitkan tiga lelaki lingkungan 19 hingga 45 serta wanita 20 tahun dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans dan jentera EMRS bagi menerima rawatan.