Kerajaan sokong program tingkat kesejahteraan, keselamatan rakyat – Ruslan

Beaufort: Kerajaan sentiasa menyokong inisiatif pelaksanaan program yang memberi manfaat besar kepada komuniti dalam aspek kesiapsiagaan dan ketahanan menghadapi bencana.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, dukungan itu adalah bukti komitmen kerajaan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima bantuan, pengetahuan, dan latihan yang sewajarnya.

“Kami akan terus menyokong program-program seperti ini yang dapat meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat kita.

“Program ini bukan sahaja menyediakan maklumat berkenaan WASH, tetapi turut memberi latihan praktikal dan peralatan yang diperlukan kepada penduduk setempat.

“Ini selari dengan matlamat untuk membina daya tahan komuniti secara berterusan dan memastikan setiap penduduk dapat bertindak balas dengan lebih efisien dan efektif ketika berhadapan situasi kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Pengurangan Risiko Bencana Berteraskan Komuniti 2024 di sini semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kejayaan program itu adalah hasil daripada kesepaduan antara semua pihak masyarakat, agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, dan para sukarelawan.

“Semangat gotong-royong inilah yang akan menjadi asas kepada ketahanan komuniti kita dalam menghadapi pelbagai cabaran, sama ada dalam situasi bencana alam mahupun dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Dalam sidang medianya, Ruslan berkata, program itu telah menjadi fokus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Program itu sangat membantu kepada komuniti kita dimana pihak bulan sabit merah dan agensi kerajaan yang lain telah pun memberi pendedahan ilmu pengetahuan,” katanya.

Terdahulu, program selama dua hari itu telah disertai seramai 100 peserta.