Kerajaan komited baik pulih dan naik taraf masjid, surau khusus yang daif di seluruh negeri

Sook : Kerajaan Sabah sentiasa komited dalam usaha membaik pulih dan menaik taraf masjid dan surau terutama yang berada dalam keadaan kritikal.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, pewartaan tapak juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan terlebih dahulu khususnya yang melibatkan pembinaan bangunan masjid atau surau yang baharu.

“Berkenaan keluhan masjid dan surau yang daif, ini adalah menjadi satu keutamaan kerajaan kita pada hari ini di mana kita telahpun memfokuskan kepada masjid dan surau yang sangat kritikal.

“Kita beri keutamaan dahulu, kita ada lebih 2,000 masjid dan surau di seluruh Sabah dan kita akan naik taraf mengikut keperluan masjid dan surau yang sangat mendesak. Namun ianya tidak dapat dilaksanakan sekelip mata dan perlu mempunyai perancangan setiap tahun.

“Ini termasuklah pewartaan tanah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang isu pemilikan tanah yang boleh menjejaskan pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Raudah Pekan Sook di sini semalam.

Daerah kecil Sook merupakan daerah ketujuh dalam siri jelajah itu yang bermatlamat bagi mendekatkan kepimpinan dengan rakyat dan membawa keberkatan Ramadan ke setiap pelusuk negeri.

Ruslan berkata, pada majlis itu, beliau berpeluang berbuka puasa bersama golongan asnaf, pimpinan masjid dan pegawai Kerajaan.

“Selain berbuka, kami turut menyampaikan bakul makanan sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan. Semoga sedikit bantuan ini dapat meringankan beban mereka menjelang Syawal yang bakal tiba,” katanya.