Kerajaan GRS-BN komited tuntut hak Sabah dalam MA63

KOTA KINABALU  (17 SEPT) : Kerajaan GRS-BN komited meneruskan usaha menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya persefahaman dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan tuntutan-tuntutan Sabah dipenuhi dan dilaksanakan.

“Kita percaya bahawa isu berhubung hak dan kepentingan negeri yang melingkari hubungan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan selama ini akan dapat ditangani melalui perundingan dan muafakat atas semangat Keluarga Malaysia.

Hajiji Noor

“Dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 8 September lalu, saya telah mengulangi bahawa Sabah akan tanpa henti terus menuntut 40 peratus pulangan daripada hasil bersih Sabah sendiri yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang ditetapkan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.

Ujar Hajiji lanjut, Sabah telah melangkah sejauh ini sejak pengisytiharan bersejarah Malaysia pada 16 September 1963.

“Walaupun masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam konteks pembangunan di bawah semangat MA63, Sabah akan terus menuntut apa yang patut, supaya kita juga akan menikmati hasil pembangunan sebagai rakan kongsi kepada negara tercinta ini.

“Sesungguhnya, kita ingin melihat erti sebenar Keluarga Malaysia diterjemahkan menerusi konteks kesaksamaan dalam usaha membangunkan negara”, katanya ketika berucap menyempurnakan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Tahun 2022 di Padang Merdeka, pada Jumaat malam.

Hadir menyerikan majlis, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, selain kehadiran Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M Yahya, Jemaah Kabinet Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tambah Hajiji, walaupun sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan tahun ini diadakan di Melaka, namun Sabah juga tidak terkecuali meraikan sambutan ini secara sederhana tetapi meriah sebagai sebuah masyarakat majmuk, makmur dan sejahtera.

Tambahnya, tarikh 16 September merupakan tarikh yang amat bersejarah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang menyatukan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta menghayati semangat kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil kesinambungan semangat para pejuang./Penerangan-