Kepimpinan bukan hanya bangunkan infrastruktur, tetapi sahsiah

Beaufort : Inisiatif pelaksanaan program ‘Mari Solat Subuh’ yang digerakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam menjadi platform terbaik dalam memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, program itu turut mengangkat syiar Islam dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, program ini bukan sekadar ajakan untuk bersolat berjemaah pada waktu Subuh, malah merupakan sebahagian daripada transformasi kepimpinan yang berteraskan nilai hijrah dan teladan Rasulullah SAW.

“Hijrah itu bukan sekadar berpindah tempat. Ia juga bermakna perubahan jiwa dan tindakan.

“Maka, kita mulakan perubahan itu dari Subuh iaitu waktu yang sering kali mencabar, tetapi penuh berkat dan kekuatan rohani,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Lumadan di sini.

Ruslan berkata, walaupun program tersebut kadang kala tertangguh kerana komitmen beliau di peringkat negeri, namun hasrat untuk meneruskannya tetap utuh.

Malah, beliau mengumumkan bahawa program ‘Mari Solat Subuh’ akan disambung semula minggu depan bermula di Surau Palai, kemudian ke Surau Belagas dan seterusnya ke seluruh surau dan masjid dalam DUN Lumadan.

“Kita ada 34 masjid dan 37 surau di kawasan ini. Walaupun jauh dan mencabar, saya usahakan hadir kerana ini bukan sekadar solat, ini pendekatan kita untuk memimpin masyarakat dengan teladan dan bukan hanya arahan,” katanya.

Sementara itu, Ruslan berkata, keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani amat penting untuk kebahagiaan dan kemakmuran masyarakat.

Beliau menolak konsep kepimpinan yang hanya menumpukan kepada infrastruktur tanpa menyentuh pembangunan sahsiah dan agama.

“Kita tidak hanya mahu bina dewan, jalan dan bangunan, tetapi mahu bina manusia. Bila sahsiah kuat, rumah tangga bahagia, masyarakat harmoni dan itulah yang membawa kita lebih dekat kepada syurga,” katanya.