
Kenal pasti keperluan masjid, surau menjelang Ramadan

Beaufort : Semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau diminta untuk bersiap sedia termasuk mengenal pasti keperluan bagi kegunaan jemaah khususnya menjelang bulan Ramadan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia juga adalah untuk sama-sama mengimarahkan masjid dan surau pada bulan mulia yang dijangka tiba tidak lama lagi.
“Sudah tentu dalam beberapa hari lagi, kita akan berada di bulan Ramadan al-mubarak dan kita menyarankan agar semua AJK masjid dan surau untuk bersiap sedia mengenal pasti keperluan dan mengemas kini keperluan yang akan digunakan.
“Ia termasuklah dalam segi pembesar suara dan sebagainya untuk kita sama-sama mengimarahkan masjid dan surau pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan majlis pecah tanah tapak surau Kampung Berumbai di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kerja-kerja penimbusan tanah di tapak berkenaan akan mengambil masa lebih kurang sebulan dan dijangka siap pada hujung Mac ini.
“Kawasan ini berisiko banjir dan akan mengambil masa sebulan untuk menimbus tanah dan selepas itu apabila ianya tanahnya padat, dalam masa dua hingga tiga bulan kita akan mendirikan surau baru nanti.
“Jika semua berjalan lancar, permohonan untuk mendirikan bangunan surau ini dijangka akan dilaksanakan pada Jun atau Julai depan,” katanya.