Kembara Puisi ASTiF UMS santuni masyarakat di Kg Mesilau Kundasang

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

RANAU (27 JAN): Seramai 23 orang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Fakulti Akademi Seni Dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Major Penulisan Tahun 2 Semester 3 sesi 2022/2023 telah mengadakan Program Kembara Puisi di Kampung Mesilau, Kundasang, di sini.

SANTAI … Pelajar ASTiF dan kanak-kanak Kg Mesilau semasa program.

Program yang dianjurkan selama dua hari itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada generasi muda khususnya kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun berkenaan penulisan puisi.

Menurut Pengarah Program Mohd Addin Al Kudus berkata, program seumpama ini langkah awal mendedahkan kanak-kanak yang berada di bangku sekolah untuk lebih mengenal puisi.

“Kita menyasarkan 31 orang kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun turut serta dalam program ini.

“Dalam masa yang sama kita mahu kanak-kanak di sini dapat mencipta puisi dan mendeklamasikannya mengikut cara mereka,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pensyarah Kursus Penulisan Puisi merangkap penasihat program Mashor Awang Long berkata penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan penting supaya mereka memahami dan peka terhadap keperluan semasa.

Katanya, kesemua hasil puisi yang dihasilkan oleh kanak-kanak di sini akan dibukukan menjadi sebuah naskah puisi bertajuk “Seri Embun di Puncak Kinabalu.”

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Kg Mesilau Ruhatin Duari atas kerjasama yang diberikan dan berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Anjuran kali ini lebih menarik kerana beberapa pengisian dilakukan antaranya aktiviti riadah puisi, terapi puisi dan senam pagi bersama penduduk setempat.

Dalam masa yang sama, pihak ASTiF turut menyantuni seramai 30 keluarga yang memerlukan dengan agihan bakul bantuan makanan berupa beras, gula, minyak masak, mi segera, kicap dan beberapa lagi barang keperluan yang lain hasil sumbangan orang ramai.