
Kembara Ilmu dan Dia Rakyat Sabah untuk Palestin duduk masyarakat jadikan dia sebagai senjata

Kota Kinabalu : Penganjuran Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin mampu mendidik masyarakat untuk menjadikan doa sebagai senjata mukmin dalam menghadapi cabaran hidup.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, doa adalah salah satu bentuk ibadah yang tidak boleh dipandang ringan dan menjadi senjata yang paling ampuh dan mudah diakses oleh setiap insan.
Katanya, program itu juga bermatlamat untuk menyemarakkan semangat solidariti rakyat Sabah terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Walaupun jauh secara geografi, kita dekat secara ukhuwah Islamiyah. Palestin adalah tanah wakaf umat Islam, dan penderitaan mereka adalah duka kita bersama.
“Penganjuran program ini juga dapat memperkasakan perpaduan umat Islam menerusi institusi masjid yang dimakmurkan selain membuktikan bahawa masjid bukan sahaja tempat solat dan ibadah, tetapi juga pusat pembinaan ummah dan medan transformasi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Kembara Ilmu dan Doa Rakyat Sabah untuk Palestin di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Ahad.
Ruslan berkata, sepanjang program itu, 25 buah masjid di 11 daerah telah dikunjungi dan dimakmurkan dengan ilmu dan doa dan ia adalah pencapaian yang patut disambut dengan rasa bangga.
Ini kerana katanya, ia menunjukkan komitmen umat Islam dalam memakmurkan institusi masjid sebagai asas kebangkitan ummah
“Kita tidak mungkin dapat membantu Palestin secara langsung seperti makanan atau senjata. Tetapi sebagai mukmin, kita punya doa, taqwa, dan ukhuwah.
“Inilah modal utama yang menjadi asbab keberkatan di dunia dan ganjaran di akhirat.
Marilah kita terus bersatu hati, memperkukuh ukhuwah, dan menanamkan semangat kepedulian terhadap saudara-saudara kita di Palestin.
“Doa dan solidariti kita amat bermakna. Semoga Allah menerima segala usaha kita dan menjadikan kembara ilmu dan doa ini sebagai sebab turunnya pertolongan dan kemenangan buat saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.