Kem kepimpinan medan bentuk jati diri, semangat setiakawan

Papar : Penganjuran Kem Kepimpinan Pemuda Belia Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan mampu menjadi medan membentuk jati diri serta menyemai semangat setiakawan.

Naib Presiden PBS Datuk Ruslan Muharam berkata, program itu juga dapat membina jiwa kepimpinan yang bersedia menggalas amanah masa depan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Lumadan atas kejayaan menganjurkan program yang cukup bermakna ini.

“Kejayaan ini bukan datang sendiri, tetapi hasil kerja berpasukan, semangat kental anak muda serta kesungguhan untuk belajar dan berbakti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kem Kepimpinan Pemuda Belia PBS Bahagian Lumadan 2025 yang berlangsung di Beringgis Beach Resort, Papar di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para fasilitator dan penceramah jemputan yang berkongsi pengalaman pada kem berkenaan.

“Lebih istimewa, program ini turut diserikan dengan qiamullail dan tazkirah yang bukan sahaja menyentuh rohani, tetapi memperkukuh kekuatan dalaman sebagai asas penting dalam kepimpinan yang berakhlak dan berwawasan.

“Saya percaya, melalui wadah PBS, para peserta yang hadir akan pulang bukan sekadar dengan sijil, tetapi membawa pulang semangat perjuangan, kesedaran tanggungjawab dan ilmu kepimpinan yang akan menjadi bekal sepanjang perjalanan mereka sebagai pelapis masa depan Lumadan,” katanya.