Keluaran Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS penuhi pasaran peluang pekerjaan
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (14 DIS): Seramai 24 graduan pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas di Universiti Malaysia Sabah telah berjaya menamatkan pengajian dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke 24 dekat sini, baru- baru ini.
Kesemua mereka menerima skrol yang disampaikan oleh Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim di Dewan Canselor UMS pada hari konvokesyen berkenaan.
Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS , Prof. Madya Ts. Dr. Ismail Saad berkata, sejak ambilan pertama pada tahun 2018, program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS telah menerima seramai 150 pelajar.
Jelasnya, FKJ tidak hanya menawarkan program ijazah sarjana muda malah turut menawarkan program kejuruteraan minyak dan gas di peringkat diploma dan sarjana.
“Setakat ini, lebih 50 peratus keluaran kohot pertama program Kejuruteraan Minyak dan Gas telah pun menerima tawaran pekerjaan dari syarikat multinasional seperti PETRONAS, Sime Darby, Foxboro, Matco, Tata Consultancy dan sebagainya,” katanya.
Menerusi kajian fakulti, graduan program itu telah menerima tawaran kerjaya sejuru menamatkan pengajian di semester terakhir.
Perkara itu membukutikan bidang berkenaan memenuhi peluang pasaran kerjaya dalam industri dan sangat diperlukan pada masa ini.
Seorang graduan program Kejuruteraan Minyak dan Gas UMS, Priveqa Yaashini Gopalan berkata beliau ingin menjadi alumni yang dapat menyumbang kembali kepada UMS dan masyarakat.
Dia yang berasal dari Selangor menyatakan sering berpegang kepada prinsip ‘be kind and serve back to the people in need’.
“Dengan ijazah yang saya miliki, saya dapat membantu dari segi kemahiran mahupun motivasi untuk dikongsikan kepada para pelajar program minyak dan gas di UMS.
“Minat terhadap subjek matematik dan sains mendorong saya untuk mendalami bidang kejuruteraan. Saya meneruskan pengajian dalam jurusan minyak dan gas kerana ingin tahu bagaimana minyak yang diperoleh daripada pembentukan batuan, proses awal sehinggalah kepada tahap penjualan kepada pengguna.
“Ia menarik perhatian saya bagaimana penerokaan dan pengeluaran minyak berlaku,” jelasnya mengenai minat terhadap bidang yang diceburi beliau.
Priveqa juga merupakan salah seorang penerima Anugerah Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) bagi tahun 2022.
Anugerah BEM diberikan kepada pelajar tahun akhir prasiswazah bagi setiap program kejuruteraan yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.60 ke atas serta memiliki sahsiah yang baik.