
Kekayaan, keunikan budaya cerminan identiti dan jati diri sebuah masyarakat

Beaufort : Kekayaan dan keunikan budaya yang pelbagai khususnya di negeri ini adalah cerminan kepada identiti dan jati diri sesebuah masyarakat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ia turut memainkan peranan penting dalam memupuk rasa perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat setempat.
“Dengan mengadakan majlis ini, kita tidak hanya merayakan warisan budaya, tetapi juga mengiktiraf sumbangan setiap individu dan kumpulan dalam mengekalkan dan memajukan budaya kita.
“Saya percaya bahawa dengan usaha berterusan untuk memelihara dan mempromosikan kebudayaan kita, kita bukan sahaja memperkaya diri kita tetapi juga membina jati diri yang kukuh dan harmoni dalam masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan majlis ini sebagai platform untuk berkongsi, belajar, dan merayakan keunikan budaya kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Warisan Budaya Bangsa : Ini Warisan Kita di Kampung Suasa di sini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, beliau sangat berbesar hati kerana program itu dilaksanakan di kawasan DUN Lumadan selain berharap agar program ini memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Selain itu katanya turut berharap agar dapat menjalinkan semangat kerja berpasukan, memupuk toleransi serta muafakat dalam menjalankan aktiviti sepanjang siswa siswi berkampung di Kampung Suasa.
“Hal yang demikian, sudah pasti memberikan banyak kenangan manis bersama keluarga angkat masing-masing dan juga kepada komuniti terutamanya apabila dapat saling bertukar pandangan dan idea yang bernas semasa menjalankan program kemasyarakatan sehingga dapat menyelesaikan banyak perkara.
“Ini termasuklah menyelenggara dan membaik pulih dapur surau Kampung Lalangut, gotong-royong mengecat dan menceriakan Dewan Desa Lestari Kampung Suasa, membina pondok pengumpulan sampah Masjid Darul Ikhwan Desal Lestari Kampung Suasa dan beberapa aktviti lain,” katanya.