Karnival Makanan dan Tradisi pamer kepelbagaian tradisi etnik Bisaya

Beaufort : Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) mengambil inisiatif mengetengahkan tradisi etnik Bisaya menerusi penganjuran Karnival Makanan dan Permainan Tradisi etnik berkenaan di negeri ini.

Sebagai permulaan, persatuan itu telah mula mengadakan karnival seumpama itu di peringkat Zon Rancangan Klias yang disempurnakan Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, menerusi karnival itu, pelbagai makanan dan permainan tradisi, di samping persembahan alat muzik dan pakaian tradisi Bisaya dapat diketengahkan.

Katanya, inisiatif itu adalah bagi mengekalkan budaya tradisi etnik Bisaya, termasuk bahasanya agar dapat dipertahan dan terus dituturkan oleh generasi muda.

“Pada tahun ini, kita di pihak PBBS telah mula menggerakkan aktiviti kebudayaan khususnya dalam memperkenalkan makanan dan permainan tradisi suku kaum Bisaya kepada masyarakat khususnya golongan muda.

“Selain itu, kita juga mahu memberi pendedahan kepada pemimpin di peringkat zon untuk melaksanakan suatu program sebelum mereka menjadi pemimpin di peringkat tertinggi,” katanya.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, program seumpama itu juga dapat memupuk kerjasama dalam berpersatuan selain mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Bisaya.