
Kadzim dahului senarai 54 penerima darjah kebesaran negeri Sabah

KOTA KINABALU : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Kadzim M. Yahya mendahului senarai 54 penerima darjah kebesaran, bintang serta pingat sempena Hari Jadi Rasmi ke-69 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di sini semalam.
Kadzim bersama Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dikurniakan darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Tiga lagi penerima SPDK ialah bekas Menteri Kewangan negeri, Datuk Mohammad Noor Mohd Mansoor, bekas Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim dan ahli perniagaan, Datuk Lim Haw Kuang.
Dalam istiadat berkenaan, 42 penerima lain menerima darjah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Antaranya, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Hamzah Ahmad dan Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM, SAC Datuk Chandrasehkaran A/L Muthu.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman, Pengarah Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri, Datin Lucy Yong, Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Christopher Chin Soo Yin dan ahli perniagaan, Koh Chung Jade juga menerima PGDK.
Selain itu, Tun Juhar menganugerahkan Watikah Perlantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) kepada Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Dr. Geoffrey Kitingan disusuli lima penerima lain.
Hadir sama pada istiadat itu adalah Isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag, jemaah kabinet negeri dan para tetamu jemputan khas.
Sempena hari jadi rasmi tahun ini, Tun Juhar menyenaraikan 1,407 individu sebagai penerima darjah kebesaran negeri yang masing-masing menerima SPDK (enam orang), PGDK (81 orang), JP (sembilan orang), Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) 131 orang, Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 246 orang, Bintang Setia Kinabalu (BSK) 319 orang, Bintang Kinabalu (BK) 393 dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) 222 orang.
Sumber : Penerangan