Jururawat terselamat, pokok hempap kereta di Hospital Likas

SEYBI SABBY

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (25 NOVEMBER): Kejadian pokok tumbang menghempap sebuah kereta Produa Axia milik seorang jururawat Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas di sini mengejutkan orang awam yang berada di kawasan parkir berkenaan, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu berlaku ketika jururawat berkenaan dalam perjalanan menuju ke bangunan hospital selepas baru saja meletekkan kenderaannya di situ.

Sejurus kejadian, dia berasa terkejut selepas dimaklumkan insiden itu melibatkan kereta miliknya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang tidak mahu dikenali sedang menanti isterinya sarat untuk bersalin berkata, dia turut bersyukur kerana sebelum pokok tumbang dia memasang niat untuk meletakkan kenderaan di kawasan itu namun berubah fikiran untuk meletakkan kenderaan di bahagian belakang kawasan parkir lain.

Menurut kenyataan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.53 petang.

“Sepasukan anggota dan pegawai APM Kota Kinabalu terus dikerah bergerak ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kereta Perodua Axia rosak pada bahagian tempat duduk pemandu akibat dihempap pokok tumbang, katanya dalam satu kenyataan.

Operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang menggunakan peralatan gergaji rantai.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam susulan kejadian.