KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, menerima kunjungan hormat daripada The Institution of Engineers Malaysia Cawangan Sabah (IEM Sabah) di pejabat beliau di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama antara profesion kejuruteraan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Dalam pertemuan itu, IEM Sabah menekankan kepentingan menggalakkan lebih ramai jurutera mendaftar sebagai Ahli Siswazah IEM, seterusnya melangkah ke arah Keahlian Korporat dan memperoleh status Jurutera Profesional (Ir.).
IEM Sabah turut menyatakan kesediaan menyediakan latihan berstruktur, program mentor serta bimbingan profesional bagi membantu para jurutera memenuhi keperluan pendaftaran profesional.
Inisiatif ini dilihat mampu memperkukuh kumpulan bakat kejuruteraan tempatan dalam sektor awam dan swasta.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai beberapa perkara berkaitan, termasuk perancangan dan penyelarasan koridor utiliti.
Turut dibincangkan ialah potensi peranan IEM Sabah dalam menawarkan input teknikal serta bantuan profesional kepada kementerian berhubung isu kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam.
Delegasi IEM Sabah diketuai oleh Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar selaku Pengerusi Cawangan, bersama Ir. Ts. Tan KJ, Datuk Ir. Willy Chin, Ir. Randy Kuan Luk Cheong, Ir. Ts. Petrocelli Joseph, Ag. Khairul Akmal bin Kamaludin dan Lydia Lisa Edward.
Kunjungan hormat tersebut berakhir dengan komitmen bersama untuk meneruskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan warga kejuruteraan, dengan matlamat menyokong pembangunan infrastruktur yang mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah.






