
JOACHIM HARGAI SUMBANGAN PERSATUAN KEBAJIKAN HONG MEN SABAH KEPADA MANGSA BANJIR
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah atas sumbangan tunai sebanyak RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah, Raymond Yong, dan diterima sendiri oleh Joachim di pejabatnya pada Isnin.
Menurut beliau, bantuan kewangan berkenaan disalurkan parti bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir, khususnya di kawasan Kota Marudu, serta kawasan lain yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.
“Kerjasama dan keprihatinan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebajikan Hong Men Sabah amat kita hargai.
“Sumbangan ini mencerminkan semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial yang tinggi dalam membantu mereka yang sedang menghadapi kesukaran,” katanya.
Dalam pada itu, hari ini (Selasa), Ketua Exco Pemuda PBS, Datuk Christoper Mandut, telah mewakili kepimpinan parti menyerahkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini di Kg. Sungoi Darat dan Kampung Masalog, Kota Marudu.
“Diharapkan bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban dan membantu memenuhi keperluan harian keluarga yang terkesan,” kata Joachim.
Beliau berkata, usaha membantu mangsa bencana memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan kebajikan, sektor swasta dan individu perseorangan agar proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, Joachim berharap lebih banyak organisasi dan pihak tampil menghulurkan bantuan demi kesejahteraan rakyat yang terjejas, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam menghadapi cabaran.
“Sumbangan ini adalah manifestasi keprihatinan serta solidariti terhadap penduduk yang sedang menghadapi ujian musibah,” katanya.





