Jetama Sdn Bhd sumbang RM100,000 kepada Yayasan Nur Jauhar
editor@bayunews.net
KOTA KINABALU (28 MAC): Syarikat konsesi air Kota Kinabalu, Jetama Sdn Bhd menyumbangkan RM100,000 kepada Yayasan Nur Jauhar (YNJ).
Pengerusinya, Datuk Yussof Abdul Mannan berkata selain kewangan, syarikat tersebut turut menyumbang 1,500 kotak kurma sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan perkongsian rezeki dengan golongan yang memerlukan.
Sumbangan disampaikan Yussof kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Naim Uddang, Timbalan Pengerusi Jetama Sdn Bhd Juhari Jannan dan Ketua Pengarah Urusan, Julian Liew.
Dalam pada itu, Tun Juhar menerima kunjungan hormat perpisahan Pengarah Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Anwar Udzir yang telah berkhidmat di Sabah selama tiga tahun lapan bulan mulai 1 Ogos 2019.-JaPen