Jentera BN sedia hadapi PRU-15: Bung
KOTA KINABALU (27 SEPT): Sambutan luar biasa yang ditunjukan oleh ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada setiap program Jelajah Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN yang telah diadakan menunjukkan momentum serta semangat ahli-ahli parti yang begitu tinggi untuk bergerak secara bersepadu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Setakat ini tiga tempat program Jelajah Gelombang Biru telah diadakan bermula di Zon 6 yang merangkumi Kawasan Tawau Semporna dan Kalabakan (4 September), disusuli Zon 1 Kota Belud, Tuaran (10 September) dan Zon 4 Pedalaman di Pensiangan yang menunjukkan sambutan luar biasa dari kalangan ahli-ahli UMNO dan BN yang jelas membuktikan tahap solidariti BN di negeri ini begitu tinggi untuk menghadapi PRU Ke-15.
Selepas ini akan diadakan Perhimpunan Gelombang Biru Zon 5 yang melibatkan bahagian Kinabatangan, Beluran Libaran dan Sandakan yang akan diadakan di Padang Bandaran Sandakan dari 1 hingga 2 Oktober 2022 dan seterusnya beberapa zon lain iaitu, Zon 1 Kudat dan Kota Marudu; Zon 4 Ranau, Keningau,Tenom, dan Pensiangan; Zon 3 Papar, Beaufort, Sipitang dan Kimanis dan Zon 2 melibatkan Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.
Sementara itu Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) ketika ditemui berkata, Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN yang diadakan merupakan isyarat bahawa gendang ‘perang’ PRU ke-15 sudah berbunyi dan semua ahli parti perlu bersedia untuk ke arah itu.
Bagaimanapun Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, kehadiran ribuan penyokong pada majlis Perhimpunan Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN bukanlah sebagai titik akhir yang menunjukkan kekuatan sebenar BN sebelum memasuki gelanggang pilihan raya.
Beliau menegaskan PRU ke-15 perlu membuktikan bahawa terdapat kesepaduan parti yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi malah menolak mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan BN serta kepimpinannya.
“Semangat Gelombang Biru yang menyaksikan UMNO dan BN bangkit untuk mengambil alih pemerintahan negara perlu diteruskan sehingga PRU diadakan dan perlu meraih kemenangan besar pada PRU ke-15,” katanya.
Tambah Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Gelombang Biru BN perlu digerakkan secara bersepadu untuk menggandakan kekuatan BN dan kesemua itu perlu dilakukan dengan tekad yang kuat dan semangat perjuangan yang luhur.
“Setiap lapisan PDM, cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini. Atas prinsip ini jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh.
“Kita akan bekerja kuat bagi mencapai KPI yang diletakkan oleh parti dan hasrat ini dapat dicapai jika kita mendapat sokongan padu semua pemimpin UMNO dan BN sepanjang kempen pilihan raya kali ini,” tambah Bung.
Sumber: Utusan Borneo