
Jatuh gaung, pemandu treler maut tersepit di Tambunan

editor@bayunews.net
TAMBUNAN (7 MAC): Seorang pemandu lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia selepas treler yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung sedalam 28 meter di Kilometer 15 Jalan Tambunan-Ranau, berhampiran Kampung Babagon, di sini, petang kelmarin.
Difahamkan, pada jam 3.20 petang treler mangsa yang membawa muatan kayu balak telah terundur ke belakang sebelum jatuh ke dalam gaung.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim mengesahkan kemalangan maut berkenaan.
“Akibat kejadian, pemandu tersepit dalam treler dan dikeluarkan sepasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis memohon saksi awam yang melihat kejadian itu tampil ke Balai Polis Trafik Keningau untuk membantu siasatan.