Jalan Kota Kinabalu- Sandakan terputus: Guna laluan altenatif Jalan Sinarut Baru Togudon Baru

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

RANAU (5 JAN): Ratusan kenderaan dekat sini terkandas apabila laluan utama Kota Kinabalu- Sandakan pada kilometer 109.378, di Jalan Riverside terputus hubungan akibat runtuhan yang berlaku sejak semalam.

Kejadian pada jam 10.00 malam itu menyebabkan jalan utama berkenaan ditutup serta-merta bagi semua jenis kenderaan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berkata, hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan kegagalan pembentung sekaligus membawa kepada jalan utama terputus dan membahayakan pengguna jalan raya.

Pihak JKR menggesa pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat.

“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan altenatif Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (Hanya untuk kenderaan kecil).

“Mohon patuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Segala kesulitan amat dikesali dan diharap bersabar untuk keselesaan bersama di masa akan datang,” jelas dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, tular beberapa video dan gambar di media sosial kejadian jalan terputus berlaku di Ranau sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dari netizen.