Sook : Umat Islam khususnya di sekitar Kampung Piuludan Baru Tulid di sini digalakkan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai satu prasarana untuk para jemaah berkumpul bagi mendalami ilmu agama.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, rumah ibadat khususnya Surau Al-Matin di kampung berkenaan juga boleh diimarahkan dengan solat tarawih dan majlis ilmu sepanjang bulan Ramadan.
“Jadi harapan kita dengan terbinanya Surau Al Matin ini, satu ialah kita dapat mengwujudkan satu prasarana yang selesa untuk para jemaah kita. Muslimin kita dapat berkumpul di sini.
“Bukan saja untuk menunaikan solat lima waktu. Tetapi saya kira surau ini boleh dijadikan satu pusat aktiviti untuk kita mendalamkan ilmu Islam itu sendiri. Kita juga boleh dapat merapatkan hubungan ukhuwah dengan adanya surau ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Surau Al-Matin Kampung Piuludan Baru, Tulid Sook di sini semalam.
Ruslan berkata meskipun surau ini masih dalam skala yang sederhana, pihaknya percaya bahawa dengan sokongan dan usaha berterusan daripada semua pihak, ia dapat dinaik taraf secara berperingkat bagi memberikan keselesaan yang lebih baik kepada jemaah.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita menghidupkan surau ini dengan ibadah dan aktiviti bermanfaat, kerana rumah Allah bukan diukur pada saiznya, tetapi sejauh mana ia dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Dalam majlis itu, Ruslan turut berkesempatan menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada asnaf, sebagai persediaan mereka menyambut Ramadan.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng.