Isu bekalan air, masalah banjir di DUN Lumadan terus diberi perhatian

Beaufort : Isu bekalan air selain masalah banjir yang sering dihadapi penduduk khususnya di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan terus diberi perhatian sewajarnya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ini terbukti apabila isu yang membelenggu rakyat di kawasan berkenaan hampir lebih 20 tahun telah diselesaikan oleh Kerajaan yang ada pada masa ini.

“Rakyat kini telah melihat perkembangan semasa bahawa Kerajaan yang ada pada hari ini telah banyak menyelesaikan isu rakyat khususnya di DUN Lumadan.

“Isu ini telah begitu lama menghantui rakyat kita hingga mencecah lebih 20 tahun tiada air tetapi paip ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Cawangan-cawangan Parti Bersatu Sabah Zon 2 bagi 6 Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kawasan Lumadan di Kampung Lago Beaufort di sini semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, setakat ini hanya beberapa kampung di kawasan Lumadan yang masih menunggu proses permohonan sistem air.

Katanya, masalah banjir ianya telah diselesaikan dengan pembesaran dan pembersihan sungai-sungai dengan kerap dilakukan berdekatan kampung yang terlibat.

Mesyuarat tahunan tersebut dihadiri oleh lebih 500 ahli Parti Bersatu Sabah sekitar Lumadan.

Dalam pada itu, beliau turut menyempurnakan penerimaan borang keahlian daripada 98 orang ahli baharu PBS di sini.

Setakat ini, PBS bahagian Lumadan mempunyai jumlah sebanyak 190 cawangan.