
Insentif Kecemerlangan SRU 2025 Diperkenalkan di DUN Lumadan
BEAUFORT : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam memperkenalkan Insentif Kecemerlangan Sijil Rendah Ugama (SRU) 2025 sebagai usaha memberi penghargaan dan galakan kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SRU di kawasan itu.
Katanya, ia sekali gus memperkukuh budaya kecemerlangan pendidikan agama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Inisiatif tersebut diumumkan sempena Majlis Graduasi Tahun 6 melibatkan lima buah Sekolah Agama Negeri (SAN) iaitu SAN Weston, Lumadan, Lubak, Batanduk dan Gadong di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, pengenalan insentif ini adalah antara langkah julung kali dilaksanakan sebagai pengiktirafan kepada usaha gigih murid-murid, di samping menghargai peranan besar para guru serta sokongan berterusan ibu bapa.
“Keputusan SRU yang diumumkan pada 18 haribulan lalu menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.
“Ini membuktikan usaha dan komitmen para guru selama ini telah membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, bagi tahun 2025, pelajar yang memperoleh kedudukan pertama akan menerima insentif sebanyak RM1,000, diikuti RM900 bagi tempat kedua, RM800 (ketiga), RM700 (keempat), RM600 (kelima) dan RM500 kepada pelajar yang berada dalam kedudukan keenam hingga ke-10.
Katanya, insentif tersebut bukan sahaja bertujuan memberi penghargaan, malah menjadi dorongan kepada pelajar lain untuk berusaha lebih gigih demi mencapai kecemerlangan akademik.
“Dengan kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan kepimpinan, kita yakin pencapaian SRU anak-anak di DUN Lumadan akan terus meningkat pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau turut berharap inisiatif ini dapat menjadi pemangkin kepada calon SRU 2026 untuk menjadikan kecemerlangan sebagai sasaran utama dalam pendidikan agama.





