IMT Services Sdn Bhd Kunjung Hormat Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menerima kunjungan hormat daripada IMT Services Sdn Bhd di Bilik Mesyuarat Seri Lamag, Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, hari ini.

 

Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan kepakaran serta penyelesaian kejuruteraan yang ditawarkan syarikat berkenaan, khususnya dalam aspek perlindungan infrastruktur, penstabilan cerun serta teknologi penyelenggaraan jalan yang lebih mampan dan tahan lasak.

 

Turut hadir Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Politik kepada Menteri, Dr Bonaventure Boniface; serta beberapa pegawai kanan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

 

Dalam sesi tersebut, pihak IMT Services Sdn Bhd telah menyampaikan pembentangan terperinci kepada menteri dan pegawai kementerian berhubung teknologi, produk serta pendekatan inovatif yang mampu disumbangkan ke arah penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan kemudahan utiliti di Sabah.

 

Antara yang diketengahkan termasuk kaedah penyelenggaraan pencegahan (preventive maintenance), dan sistem perlindungan cerun bagi mengurangkan risiko tanah runtuh.

 

Joachim mengalu-alukan komitmen syarikat yang tampil menawarkan teknologi serta kepakaran baharu bagi membantu kerajaan negeri menangani isu-isu infrastruktur, khususnya di kawasan luar bandar dan daerah-daerah yang berdepan cabaran geografi serta keadaan cuaca.

 

Beliau memberitahu, kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan rekod prestasi yang baik, selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang lebih berkualiti, selamat dan mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.

 

Pertemuan berakhir dengan sesi perbincangan dua hala yang konstruktif, sekali gus membuka ruang kepada potensi kerjasama strategik antara pihak kementerian dan IMT Services Sdn Bhd pada masa akan datang.

 

END.