
Impian penduduk Kg Kukup miliki masjid tertunai selepas 13 tahun

Beaufort : Impian penduduk Kampung Kukup di sini untuk memiliki sebuah masjid selepas 13 tahun akhirnya tercapai menerusi projek pembinaan Masjid Kampung Kukup yang baharu di sini baru-baru ini.
Majlis pecah tanah pembinaan masjid berkenaan disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ewal Agama) Datuk Ruslan Muharam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pembinaan masjid baharu itu adalah sebagai simbol bermulanua satu fasa baharu buat masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, pada kali ini, Kampung Kukup mencatat sejarah penting. Selepas 13 tahun menunggu, akhirnya hasrat penduduk untuk melihat sebuah masjid berdiri megah di kampung ini menjadi kenyataan,” katanya.
Menurutnya, masjid itu akan menggantikan surau lama yang dibina sejak 1986, yang kini dalam keadaan uzur dan tidak lagi mampu menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah.
Masjid dengan keluasan 40 x 50 kaki persegi itu dijangka dapat menampung lebih 100 jemaah pada satu-satu masa.
“Lebih istimewa, tapak masjid ini adalah hasil wakaf seorang penduduk kampung, menggambarkan semangat pengorbanan dan keprihatinan tinggi terhadap pembangunan syiar Islam di kampung tersebut.
“Ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi simbol penyatuan komuniti. Kita yakin, dengan peruntukan fasa pertama sebanyak RM250,000, dan tambahan RM250,000 dalam fasa kedua kelak, masjid ini dapat disiapkan menjelang akhir tahun namun bergantung kepada faktor cuaca memandangkan kawasan ini sering dilanda banjir,” katanya.
Dalam majlis sama, Ruslan turut menyumbang dua buah kanopi kepada Surau Kampung Kukup sebagai sokongan kepada aktiviti keagamaan yang masih berjalan sepanjang tempoh pembinaan.
Sebagai tanda kasih dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan, beliau meneruskan Program Sentuhan Kasih dengan menziarahi warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Kampung Kukup, Kampung Berumbai dan Kampung Kangsa.
Sumbangan turut disalurkan ke surau-surau lain, antaranya dua buah kanopi untuk Surau Kampung Berumbai dan dua buah kanopi serta 100 kerusi plastik untuk Surau Kampung Kangsa
“Masjid ini bukan hanya tempat ibadah, tetapi bakal menjadi mercu tanda kekuatan rohani, perpaduan dan kemajuan masyarakat Kampung Kukup, Kampung Kangsa dan Kampung Berumbai,” katanya lagi.