Hujan berterusan tenggelamkan SK Kouluan di Tamparuli

Wartawan Bayu News

editor@bayunews.net

TUARAN (8 DIS): Hujan lebat yang berterusan lewat petang kelmarin mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kouluan Tamparuli, dekat sini turut terkesan akibat banjir kilat.

BANTUAN… Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah melakukan tugas menyelamat murid-murid yang terkandas di sekolah berkenaan.

Kira-kira jam 4 petang kelmarin, air parit berdekatan sekolah melimpah keluar sehingga menenggelamkan seluruh kawasan sekolah kurang murid (SKM) itu.

TERJEJAS … pagar sekolah berkenaan turut roboh kesan banjir kilat itu.

Difahamkan, ketika kejadian sekumpulan murid dan guru terlibat dalam aktiviti perkhemahan di padang sekolah berkenaan.

Sejurus itu, empat daripada murid dan lima guru dibawa keluar dari kawasan sekolah dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah.

Kesemua mereka selamat dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, air naik dengan mendadak dari paras lutut hingga ke paras pinggang.

Banjir kilat itu turut memaksa beberapa kenderaan warga sekolah dialihkan ke tempat lebih tinggi dan pagar sekolah turut roboh.

Hasil tinjauan petang ini, air telah surut dan tugas-tugas membersihkan kesan banjir sedang giat dilakukan dengan kerjasama warga sekolah dan penduduk berhampiran.