Hubungan ukhuwah Islamiah Malaysia, Indonesia terus diperkukuh – Ruslan

Kota Kinabalu : Hubungan ukhuwah Islamiah antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, terus diperkukuh melalui penganjuran Perhimpunan Khas Agensi Islam Sabah bersama Al Jam’iatul Washliyah Indonesia.

Perhimpunan itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini baru-baru ini.

Ruslan ketika berucap berkata, majlis itu menjadi titik pertemuan penting yang bukan hanya bersifat simbolik, tetapi juga strategik dalam memperluas jaringan dakwah, pendidikan dan kerjasama keilmuan rentas sempadan.

Beliau turut menyifatkan program itu sebagai platform inklusif dan progresif untuk pertukaran pandangan serta pemindahan kepakaran dalam usaha memperkasakan umat Islam di rantau ini.

“Perhimpunan ini melangkaui pertemuan rasmi antara dua institusi Islam. Ia adalah lambang ukhuwah, kerjasama strategik, serta semangat keilmuan yang menyatukan kita di atas dasar agama, tanpa sempadan geografi,” katanya.

Perhimpunan ini menghimpunkan pelbagai agensi Islam di Sabah termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), JAKIM Cawangan Sabah, Perbadanan Baitulmal Sabah, serta delegasi khas dari Al Jam’iatul Washliyah Indonesia.

Ruslan berkata, program itu dimanfaatkan sebagai wadah mempertemukan pemimpin agama, pendakwah, serta tokoh pendidikan Islam dari kedua-dua negara dalam suasana penuh muhibah.

“Ini dapat membuka ruang luas untuk bertukar pandangan dan idea dakwah; perkongsian kepakaran dalam pendidikan Islam dan merintis peluang kolaborasi dalam pembangunan modal insan dan ekonomi ummah

“Cabaran umat Islam hari ini semakin kompleks, justeru penting untuk kita bersatu hati. Melalui platform seperti ini, kita mampu membentuk kefahaman Islam yang sederhana, relevan, dan membawa rahmat kepada seluruh alam,” katanya lagi.

Tambah beliau, kehadiran tokoh-tokoh penting dari Al Jam’iatul Washliyah Indonesia turut disifatkan sebagai tanda kasih sayang dan kesetiaan institusi tersebut terhadap perkembangan Islam di Sabah.

Menurutnya lagi, pengiktirafan turut diberikan atas sumbangan besar organisasi itu selama hampir lima dekad dalam melahirkan ramai pemimpin agama dan pendidik yang kini memainkan peranan penting dalam pentadbiran agama Islam di negeri ini.

“Dari guru, pengetua, hingga pengarah jabatan dan menteri agama – inilah bukti kejayaan sistem pendidikan Islam yang didokong bersama,” katanya.