Hormati keputusan pimpinan tertinggi GRS – Ruslan
Kota Kinabalu : Semua pemimpin dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta untuk menghormati keputusan pimpinan tertinggi gabungan itu khususnya dalam soal agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam berkata, pemimpin peringkat bawahan perlu menerima sebarang keputusan yang telah dipersetujui dalam perbincangan mahupun mesyuarat yang diadakan.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaa Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS kerana diperingkat pimpinanlah yang patut berbincang dan memutuskan semua perkara termasuk pembahagian kerusi pada PRN akan datang.
“Harapan kita ialah, kita perlu menghormati pucuk pimpinan sebab dalam gabungan GRS itu kita telah pun mempunyai satu muafakat untuk bersama-sama berjuang membela nasib rakyat.
“Jadi kalau dikalangan kita dalam pimpinan itu tidak dapat menerima keputusan pimpinan yang tinggi, macamana rakyat menilai kita sebagai pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Program Bicara Madani – Emansipasi OKU di sini hari ini.
Justeru Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, semua pihak perlu sama-sama menghormati pemimpin agar rakyat dapat menilai dengan sebaik mungkin.