Hilang fokus punca Sabah ketinggalan jaringan

KOTA KINABALU : Kehilangan fokus menjadi punca Sabah FC ketinggalan jaringan pada perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Bagaimanapun Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, kelemahan itu akan diperbaiki agar pasukan tidak ketinggalan jaringan pada perlawanan akan datang.

“Tendangan ‘setpieces’ atau sepakan percuma menjadi antara punca kita kehilangan fokus selepas ketinggalan jaringan.  Ini menjadi satu kelemahan selepas kita sentiasa ketinggalan namun ini akan diperbaiki.

“Kita tahu pasukan KL merupakan sebuah pasukan yang bermain secara taktikal yang cukup baik dan mereka hadir disini untuk mendapatkan satu mata dan mereka berjaya.

“Bagaimanapun kita gagal untuk menyempurnakan banyak peluang dan menyebabkan kita tidak dapat mata penuh atau meraih kemenangan pada malam ini (semalam),” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan semalam, Sabah FC sekadar berkongsi satu mata dengan KL City FC selepas terikat dengan keputusan seri 2-2.

Gol pertama pasukan pelawat hadir seawal minit ke-5 hasil tandukan pemain import KL City FC, Giancarlo Gallifuoca manakala gol kedua menerusi Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-60.

Sabah pula memperoleh gol menerusi jaringan Dominic Tan pada minit ke-47 dan gol kedua pada minit ke-85 menerusi sepakan percuma Saddil Ramdani

Sabah kekal menduduki tangga kedua mengutip 36 mata dibelakang pendahulu Liga Johor Darul Ta’zim (JDT) dan akan meneruskan saingan liga menentang Selangor FC pada 10 September ini di Stadium Likas.