‘Hiking’ ke air terjun Monggiland cipta pengalaman lihat beruang dan rusa di Tamparuli
Wartawan Bayu News
editor@bayunews.net
TAMPARULI (16 JAN): Aktiviti ‘hiking’ iaitu mendaki bukit atau gunung telah menjadi satu aktiviti yang digemari oleh semua lapisan masyarakat.
Pengalaman dalam melakukan aktiviti lasak berkenaan sudah pasti mencipta pengalaman dan pengembaraan berbeza yang memukau dari lokasi yang dilawati.
Air terjun Monggiland, memiliki ketinggian 121 kaki semestinya perlu diletakkan dalam senarai lokasi yang harus dilawati khususnya buat peminat aktiviti lasak kerana lokasinya yang menempatkan denai ngarai terbaik di Sabah.
Nama Monggiland berasal daripada pokok kayu yang tumbuh di kawasan ini.
Pendaki yang bernasib baik akan berpelung melihat beruang yang sedang memanjat pokok selain rusa yang turut berada di situ.
Eko-Pelancongan Air terjun Monggiland yang terletak di Kampung Kelawat dekat sini, telah dibuka sejak tahun 2019 lalu lagi.
Sebelum memasuki hutan, para pendaki akan dihidangkan dengan saujana memukau menuruni bukit dengan santai dalam laluan gelung pejalan kaki seterusnya melintasi kawasan ladang dan rumah penduduk.
Pengunjung turut disajikan dengan pemandangan sembilan air terjun yang berbeza terdiri daripada Bermusim, Tutuhunon, Munduk, Sirung, Pangoh, Nagas, Monggiland, Taralasak dan Dupil.
Menurut Pengerusi Eko-Pelancongan Air Terjun Monggiland Rubby James (gambar) berkata, laluan Taralasak dan Dupil ditemui awal tahun ini dengan kira-kira 20 air terjun tersembunyi berada di dalam hutan berkenaan.
“Orang ramai yang datang ke sini sudah tentu dapat merasai pengalaman mendaki, menyusuri air terjun Monggiland dan berenang di dalam kolam sambil menyegarkan diri.
“Bagi pendakian yang lebih mudah, mereka boleh berada di air terjun Nagas dengan ketinggian kira-kira 60 kaki,” katanya.
Beliau turut menyatakan pada tahun 2019 pengembara asing turut melakukan penerokaan di kawasan denai Monggiland namun terpaksa ditutup susulan wabak Covid-19.
Sejak laluan itu dibuka semula pada Ogos tahun lalu, Rubby, yang juga anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), menyedari jumlah pengunjung semakin meningkat.
Jelasnya lagi, denai itu sesuai untuk pejalan kaki dari semua peringkat kemahiran apabila mereka turut membimbing pejalan kaki dari umur enam tahun.
Terdahulu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai meraikan kira-kira 100 pendaki untuk melancarkan Eko-Pelancongan Air Terjun Monggiland pada 14 Januari 2023, Sabtu lepas.
Menurutnya, Sabah memiliki destinasi ideal untuk pelancong eko dan pengembara.
Tambahnya, laluan mendaki Monggiland merupakan satu laluan tambahan dan pendaki dialu-alukan ke kawasan itu kerana ia menghubungkan kawasan denai air terjun Murug Turug.
“Lembaga Pelancongan Sabah turut berusaha untuk mempromosikan aktiviti mendaki sebagai produk pelancongan.
“Selain menggalakkan aktiviti pendakian, akses kepada pengembara perlu diambil kira seperti kemudahan tandas dan tempat perlindungan ketika melakukan kembara di kawasan denai,” katanya.