TUARAN (13 SEPT) : Generasi muda digesa agar terus menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan negara.
Pembantu Menteri Kewangan, Jasnih Daya berkata, kemerdekaan dapat dipertahankan dengan mengukuhkan perpaduan dan keamanan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bahasa.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita patut berasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada negara berdaulat yang mana kerana kemerdekaan inilah kita dapat hidup dalam suasana harmoni, aman dan sejahtera.
“Inilah saatnya bagi kita semua menumpukan rasa taat setia dan meluahkan kecintaan buat tanah tumpah darah kita ini. Dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi, kita dapat hidup dengan lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam kehidupan seharian.

“Oleh itu, saya berharap agar program sebegini dapat diadakan bagi menggelorakan semangat cintakan negara bukan hanya sempena Sambutan Hari Malaysia atau Bulan Kebangsaan, tetapi secara berterusan,” ujarnya semasa merasmikan Program Merdeka@Parlimen di Kampung Mengkabong Pantai Dalit.
Katanya, program tersebut penting dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme masyarakat khususnya golongan muda.
Kemeriahan majlis bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia itu dikongsi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kiulu, Tamparuli, Sulaman dan Pantai Dalit melalui pergerakan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang melibatkan 55 buah kenderaan dan 148 peserta dari pelbagai jabatan.
Selain konvoi, antara program yang turut diadakan adalah merdeka@komuniti bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Tamparuli, penyampaian sumbangan dan persembahan artis PENTARAMA.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Tuaran, Malim Supre,Ketua Polis Daerah, DSP Noraidin Awg Maidin, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk dan Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin./Penerangan-