Hasrat Pasukan Bola Sepak Komuniti Belia Kampung Apin-Apin miliki jersi tercapai

editor@bayunews.net

KENINGAU (18 OKT): Hasrat ingin memiliki jersi sendiri akhirnya tercapai selepas Pasukan Bola Sepak Komuniti Belia Kampung Apin-Apin (PBKBAA) menerima sumbangan jersi dan dua bola yang mampu menyuntik semangat dan menyerlahkan lagi pasukan itu.

Sumbangan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Robert Tawik @Nordin itu sebagai suntikan semangat dan dorongan buat komuniti belia khususnya kampung-kampung yang bergiat aktif dalam kegiatan sukan.

Beliau percaya sumbangan kelengkapan itu juga membolehkan pasukan (PBKBAA) dapat menyertai mana-mana pertandingan akan datang tidak kira di daerah sendiri mahupun di tempat lain.

Sumbangan jersi dan dua bola sepak itu disampaikan oleh Petugas di Pejabat ADUN Bingkor, Sonjah Junaidi Uddie yang mewakili Pembantu Menteri Kerja Raya kepada Pengurus PBKBAA Petrus Enggu Matius.

Petrus ketika ditemui merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Robert diatas sumbangan dalam merealisasikan hasrat pasukan yang selama ini menginginkan jersi.

Beliau turut yakin, sumbangan tersebut dapat menaikkan lagi semangat pasukan itu dalam menambahbaik permainan dan pada masa sama menyerlahkan lagi bakat-bakat terpendam para ahli pasukan.