Harap Menu Rahmah RM5 diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan

editor@bayunews.net

KOTA KINABALU (3 FEB): Dalam mendepani kos sara hidup yang kian mencabar masa kini, percaturan kuasa membeli semestinya berbeza bagi setiap golongan peringkat umur di negara ini.

Pelancaran Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga serendah RM5 ke bawah menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) lewat Selasa ternyata disambut baik dan inisiatif ini diharap dapat diperluas sehingga ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Memetik satu laporan media tempatan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah berkata, pihaknya turut berharap pihak KPDN dapat mewujudkan sesi libat urus bagi melaksanakan program yang sama di tiga wilayah di sini.

Jelasnya, inisiatif itu bermanfaat besar jika ia diwujudkan di premis makanan khususnya di perkampungan universiti atau institusi pendidikan awam disamping meringkan perbelanjaan golongan pelajar dalam kalangan B40 yang bergantung sepenuhnya dengan perbelanjaan ibu bapa.

Beliau turut menjelaskan inisiatif berkenaan mampu menjadi daya tarikan pengunjung ke premis makanan dalam menjimatkan perbelanjaan harian.

“Tawaran harga juadah disediakan cukup berpatutan dan dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi sekarang,” katanya.

Masiung turut menegaskan adalah kurang adil jika program itu hanya diperkenalkan di Semenanjung Malaysia, oleh itu penduduk di wilayah Borneo juga perlu dilibatkan supaya wujud inisiatif sama rata.

Tambahnya, kementerian berkenaan diingatkan agar sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa, supaya peniaga tidak mengambil kesempatan dalam memanipulasikan Menu Rahmah.

Katanya lagi, menu itu merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur yang ditawarkan untuk sajian tengahari dan malam.

Dalam masa yang sama, Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) turut menyambut baik inisiatif Menu Rahmah berkenaan.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden PEKADIN Nailin Gabintal menyifatkan inisiatif berkenaan tepat pada masanya dan berharap inisiatif serupa wajar diperluaskan ke Sabah.

PEKADIN turut menggesa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor supaya mengambil pendekatan yang sedemikian bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 di negeri ini.

“Jelas sekali, inisiatif ini menerima sambutan yang anat menggalakkan di Semenanjung Malaysia, dan mengikut laporan media sosial, rakyat daripada golongan M40 dan T40 juga membanjiri kedai yang menyertai inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, Nailin berharap lebih ramai pengusaha restoran di Sabah dapat menyahut gesaan itu demi kebaikan bersama.